Jan 15, 2026 - FASSelangor FC meraih kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam perlawanan ke-16 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ semalam, sekaligus meletakkan pasukan di tangga kedua liga dengan 31 mata terkumpul.
Perlawanan dilihat Selangor FC menguasai permainan dan menekan pertahanan Negeri Sembilan FC sepanjang 45 minit pertama. Kedua-dua pasukan cuba mencipta peluang dan memecah kebuntuan. Namun, separuh masa pertama berakhir dengan tanpa sebarang jaringan. Pasukan The Jangs melakukan lebih banyak serangan di separuh masa kedua tetapi Nooa Laine berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Mukhairi Ajmal pada minit ke-61, yang juga merupakan gol tunggal perlawanan #SFCNSE dan gol kemenangan skuad Gergasi Merah. Secara keseluruhan, Selangor FC menguasai perlawanan dengan 61 peratus penguasaan bola. Meskipun gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang, disiplin pertahanan yang kemas membolehkan pasukan mencatatkan kemenangan tanpa bolos.
Kemenangan pertama di laman Gergasi Merah, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, menyatakan beliau bangga dengan aksi para pemain tetapi tetap mahukan yang lebih baik.
“Kita memulakan perlawanan dengan baik serta mencipta banyak peluang, khususnya pada separuh masa pertama. Pasukan mengawal permainan dengan baik, namun jika kita dapat menjaringkan gol awal mungkin keputusan berbeza. Para pemain beraksi sebagai satu pasukan, mematuhi perancangan dan mengekalkan tekanan hingga tamat perlawanan. Saya bangga dengan usaha mereka, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Kita akan terus membangunkan DNA pasukan yang berteraskan kekuatan, keberanian dan kelajuan,” kata Kim Pan-gon
“Suasana perlawanan sangat meriah dengan sokongan padu penyokong Red Giants, sekali gus menjadi dorongan buat pasukan untuk terus berjuang dan mengutip setiap mata yang ada,” jelas beliau
Daripada perlawanan #SFCNSE dalam perlawanan Liga Super 2025/26 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Nooa Laine Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM)
Pemain tengah ini berjaya menjaringkan dua gol berturut-turut dalam dua perlawanan Liga Super 2025/26. Semalam, beliau menjaringkan gol tunggal dalam aksi #SFCNSE pada minit ke-61 dengan menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Mukhairi Ajmal. Ini merupakan gol ketiga beliau dalam musim ini dan gol keempat secara keseluruhan bersama Selangor FC; dua dalam Liga Super 2025/26 menentang DPMM FC dan Negeri Sembilan FC, satu dalam Separuh Akhir pertama Piala FA 2025 menentang Sabah FA, dan satu lagi dalam ACLTWO 2024/25 menentang Cebu FC.
Mukhairi Ajmal cuba mendapatkan rentak
Mukhairi telah memainkan peranan penting di sebelah kanan serangan, mengawal tempo dan menghubungkan corak permainan dengan baik sepanjang beliau beraksi. Kehadirannya membantu Selangor FC mengekalkan penguasaan bola dan keseimbangan pasukan, serta membantu pasukan meraih gol kemenangan melalui sepakan penjuru beliau yang ditanduk masuk oleh Nooa Laine. Larian dan usaha beliau dalam serangan dan pertahanan patut dipuji, terutamanya selepas kembali daripada kecederaan panjang.
Barisan pertahanan beraksi dengan baik
Safuwan Baharudin, Mamadou Diarra, Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi serta Zikri Khalili, pemain gantian telah beraksi dengan baik bagi menghalang asakan serta gerakan pantas daripada barisan serangan The Jangs. Kerjasama mereka termasuk pemain-pemain lain juga telah membantu penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz mendapatkan kemenangan tanpa bolos ke-lapan pasukan bagi musim ini.
Seterusnya, Selangor FC akan memulakan kempen Piala Malaysia 2026 di Stadium Sultan Muhammad IV menentang Kelantan The Real Warriors FC bagi perlawanan Pusingan ke-16 pertama pada jam 9 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC amat menghargai kehadiran 6,733 para penyokong Gergasi Merah yang telah memeriahkan Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam. Teruskan sokongan padu anda untuk perlawanan akan datang!
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Mukhairi Ajmal, Safuwan Baharudin, Syahir Basah, Mamadou Diarra, Chrigor Moraes.
Pertukaran: 72’ Picha Autra > Mukhairi Ajmal, 85’ Harry Danish > Noor Al Rawabdeh, 85’ Mahamé Siby > Syahir Bashah, 90+2’ Zikri Khalili > Quentin Cheng, 90+2’ Haiqal Lau > Nooa Laine.